PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Kesemua 21 kerusi yang dimenangi BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sebelum ini akan dipertahankan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 tidak lama lagi.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, hasrat itu dimaklumkan sendiri oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh selain menyifatkan momentum 'gelombang biru' yang bermula di Johor dan diteruskan di Negeri Sembilan dijangka terus mara ke Melaka.
"Ketua Menteri selaku Pengerusi BN Melaka telah memaklumkan bahawa beliau berazam untuk mempertahankan kedudukan seluruh 21 kerusi yang dimenangi itu," katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Warga Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Putrajaya pada Khamis.
Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata, 'gelombang biru' yang bermula di Johor dan diteruskan di Negeri Sembilan diharapkan akan berterusan ke Melaka menjelang PRU 16.
**media[3606612]**
"Bermula daripada Negeri Johor ia telah menjalar ke Negeri Sembilan dan insya-ALLAH ke Melaka. Saya tidak pasti ia akan sampai atau tidak ke Kelantan, Terengganu dan Kedah.
"Tetapi saya akan pastikan ia juga akan sampai ke Perlis dan negeri-negeri lain.
"Kita sebagai sebuah parti gabungan tetap berazam untuk merangkul dokongan daripada semua kumpulan rakyat yang mungkin mahu mengubah cita rasa politik mereka," katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan kerjasama BN dan Pakatan Harapan diteruskan pada PRN Melaka, Ahmad Zahid berkata, perbincangan melibatkan semua pihak tetap akan diadakan sebelum sebarang persefahaman politik dimuktamadkan.
"Pasti akan ada mesyuarat antara semua pihak dan sebagaimana yang dinyatakan oleh Ketua Menteri Melaka, beliau sangat terbuka dan kami kepimpinan BN di peringkat pusat akan dirundingi untuk menjadi kata pemutus kepada sebarang persepakatan atau persefahaman yang akan dicapai di dalam musyawarah yang diadakan di antara mereka," katanya.
Sebelum ini penganalisis menjangkakan PRN Melaka akan diadakan seawal September depan bagi membolehkan BN memanfaatkan momentum kemenangan yang diraih dalam dua PRN berturut-turut di Johor dan Negeri Sembilan.
Tempoh itu dilihat paling sesuai untuk BN meneruskan gelombang kemenangan di selatan tanah air, selain mengukuhkan persepsi positif pengundi terhadap gabungan berkenaan.